My Teaching and Learning Philosophy

My photo
Teaching means learning. When we teach, we are questing for knowledge. Hence, learning. Thus, teaching is a manifestation of lifelong learning. Being a teacher, is a lifelong learner, a learning designer. All this is due to my philosophy of "Life is a redox"; when one gives, another has to take, otherwise, life won't exist. Teaching is a devotion, not just a profession.

Thursday 15 November 2012

Kemahiran belajar abad 21: Retorik atau manifestasi? Dr Norliza Kushairi



Kemahiran belajar abad 21: Retorik atau manifestasi?
Dr Norliza Kushairi

“Ayu, tolong ibu buka komputer ni nak, dia syik ‘hang’ aje dari tadi”. Ayu menghampiri ibunya. Ayu dapat rasakan ibunya teruja dengan komputer barunya itu. “Laa Bu, baterinya ‘low’ ...patut lah dia tak nak ‘start’. Tu ha, dia tulis tu”. Ketawa mereka berderai.
Senario di atas mungkin pernah terjadi pada anda - dalam keadaan sudah berusia, teknologi menerpa, mendesak anda menggunakannya. ‘Katak di bawah tempurung’ – perumpamaan ini mungkin menggambarkan anda jika manfaat teknologi ini dinafikan. Hasil kecanggihan teknologi, seluruh kehidupan sekarang, dari membayar bil telefon, membeli barangan, pergi bercuti semuanya boleh dibuat atas talian. Baik surirumah atau orang berkerjaya, teknologi ini satu keperluan.
Guru, teknologi dan literasi maklumat
Peralatan komunikasi sekarang seperti telefon bimbit anda dilengkapi pelbagai aplikasi capaian maklumat. Jika anda seorang guru, sementelah pula sedang menyambung pengajian, bagaimana anda memanfaatkan teknologi yang sering anda bawa di dalam poket anda? Adakah hanya sekadar menyemak status mukabuku kawan anda atau mengemaskini status dinding  mukabuku anda?
Kemahiran literasi atau celik maklumat adalah penting supaya anda dapat terus menghidupkan dunia pendidikan yang sering terdedah kepada pelbagai perubahan. Kehadiran peralatan komunikasi melalui teknologi yang canggih adalah pemudahcara untuk memiliki kemahiran ini, di mana saja, pada bila-bila masa. Kini, untuk mencapai maklumat, anda tidak semestinya ke perpustakaan. Semuanya kini di hujung jari anda. Tapi jika anda adalah empunya kepada jari yang buta maklumat, telefon canggih anda tidak ubah seperti mesin empat segi yang tidak bernyawa. Jadi teknologi komunikasi bukanlah untuk dilihat sebagai ancaman dan sekaligus dinafikan. Ianya perlu dilihat dari sudut peluang. Teknologi memungkinkan literasi maklumat dimahiri. Dalam konteks pembelajaran abad 21, kemahiran literasi maklumat adalah unsur penting pembelajaran sepanjang hayat. Ia dapat menghidupkan pembelajaran anda.
Belajar dari yang lebih muda?
Dalam contoh ibu Ayu, yang tersurat ialah dalam usia senja, beliau  terpaksa belajar sesuatu yang agak baharu. Yang tersirat ialah, orang yang berusia boleh belajar daripada orang yang jauh lebih muda. Konotasinya, tanpa mengira had umur, pembelajaran perlu diteruskan. Dalam konteks ini, pernahkah anda terfikir bahawa simpulan bahasa ‘makan garam’  itu relevan? Ternyata dalam konteks mencari  ilmu melalui teknologi maklumat sekarang, orang yang ‘makan garam lebih dahulu’ ketinggalan jua dalam beberapa aspek kehidupan berbanding orang muda. Pepatah Inggeris ada menyebut ‘..by the virtue of age...’ untuk menggambarkan hubungan usia dengan ilmu. Masih relevankah dengan kemahiran literasi maklumat yang perlu kita miliki sekarang kerana ternyata anak-anak remaja telah mendahului kita dalam aplikasi dan adaptasi teknologi maklumat ini.
Suri teladan penggunaan teknologi secara bermoral
Berbalik kepada kemahiran literasi maklumat yang guru-guru perlu miliki, anda mampu perolehinya dari anak-anak atau pelajar-pelajar anda sekiranya mereka memiliki peralatan komunikasi yang dilengkapi capaian laman sesawang. Sebagai ibu bapa, anda sendiri yang bekalkan peralatan ini kepada mereka untuk keselamatan. Jadi, kenapa tidak menggunakan kesempatan ini untuk mengajak anak-anak anda meneroka bersama-sama, mencari  informasi yang berguna. Pelayar Google umpamanya boleh membawa anda ke pelusuk dunia informasi, hatta sebuah Al-Quran pun boleh anda simpan di dalam alat sebesar tapak tangan dengan hanya seberat 100 gram itu!. Dan  yang lebih menarik, anda boleh mencapainya pada bila-bila masa di mana jua. Secara tidak langsung, ini mendidik anak anda bahawa telefon  canggih mereka bukan sekadar untuk bersosial sahaja.  Pendekatan sebegini yang diambil oleh ibu bapa atau guru, akan meminimumkan salah tanggapan remaja dan orang awam terhadap kemampuan telefon bimbit yang terhad. Ianya adalah alat bantu belajar yang baik sekiranya kemahiran literasi maklumat dididik  kepada mereka. Jika pemahaman ini wujud, ‘pemikiran di luar kotak’ dan ‘pembelajaran di luar dinding kelas’ sebagai ciri-ciri sekolah alaf 21 akan benar-benar berlaku di Malaysia. Saya sendiri pernah menggunakannya semasa mengajar dan ternyata ianya amat menyeronokkan. Anak saya sering menggunakan telefon bimbitnya untuk mencari maklumat bagi kerja sekolah sewaktu di rumah kerana ianya lebih laju dan saiznya yang lebih kecil dari komputer peribadi.  Dalam konteks ini, belajar dari anak atau pelajar adalah perlu kerana mereka ‘guru’ yang signifikan buat anda!
Di samping itu, ia dapat menggalakkan anak anda  menggunakan teknologi dengan cara bermoral. Maka kemahiran pembelajaran sepanjang hayat melalui kemahiran literasi dapat dimanifestasikan dalam kehidupan. Andai ia hanya sebutan di bibir sahaja, tanpa kefahaman, tanpa refleksi, tanpa melihat hubungan mengapa dan bagaimana kecanggihan teknologi dengan kemahiran literasi maklumat dapat bersatu, pembelajaran sepanjang hayat adalah retorik semata!


2 comments: