My Teaching and Learning Philosophy

My photo
Teaching means learning. When we teach, we are questing for knowledge. Hence, learning. Thus, teaching is a manifestation of lifelong learning. Being a teacher, is a lifelong learner, a learning designer. All this is due to my philosophy of "Life is a redox"; when one gives, another has to take, otherwise, life won't exist. Teaching is a devotion, not just a profession.

Sunday 30 August 2015

Mengulang dengar tidak salah, mengulang baca bertambah faedah

Masa adalah musuh utama bagi mereka yang sedang menyiapkan proposal atau tesis. Namun, masa tidak boleh disamakan dengan ilmu. Apabila kita merugikan masa, kita rugi sekali. Tetapi jika kita merugikan ilmu, kita rugi berkali-kali.

Mukaddimah ini ada kaitan dengan coretan saya kali ini.

Baru-baru ini saya memerhatikan satu senario yang membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman. 

Seorang rakan yang sedang menyambung pengajian PhD diajak oleh rakannya yang juga sedang belajar untuk sama-sama menghadiri kuliah oleh seorang Professor yang hebat dari sebuah universiti terkenal. Bukan calang-calang orang yang dijemput untuk berkongsi ilmunya dengan pelajar yg sedang berjuang mendapatkan PhD ini.  Maka, kuliah tersebut bukan sesuatu yang rutin. Sudah tentu banyak tips akan dikongsi. 

Namun apa yang menghairankan, walaupun berada di penghujung tempoh pengajian tetapi proposal masih belum lepas, bila diajak ke majlis ilmu sebegini, dia membalas,  'Alah dah dengar dah dulu, malaslah nak pergi'.

Saya faham, kekangan masa menjadikan kita terlalu berkira-kira dengan masa. Masa terasa amat suntuk untuk pergi duduk dan mendengar sahaja. Oleh itu, kita rasa cukup dengan mendengar sekali sahaja.

Lalu persoalan saya, adakah ilmu untuk didengari sekali sahaja? 

Sebenarnya, dari pengalaman saya sendiri membuat perkongsian ilmu melalui ceramah, walaupun tajuk ceramah saya sama, hakikatnya, pengisian tetap ada yang berbeza. 

Masakan tidak. Pengalaman belajar selama empat tahun, ditambah dengan pengalaman berhijrah dan berkelana di negara orang dengan keluarga yang besar, menjadikan intipati perkongsian saya boleh disentuh dari pelbagai sudut. Cara hadirin menunjukkan minat dan mengemukakan soalan akan mewujudkan satu atmosfera perkongsian yang unik bagi setiap audiens.   

Saya pernah beberapa kali ditanya dengan soalan yang sama oleh hadirin perempuan yang mempunyai  anak: 'Bagaimana Dr menguruskan anak yang ramai semasa mengaji?'

Jawapan saya pelbagai. Ini kerana pengalaman saya mengendalikan situasi tersebut rencam.

Saya berkongsi pelbagai tips yang timbul dari 'trial and error' secara langsung dengan anak-anak saya. Di satu sesi, saya sempat menyentuh tentang tip 'pelukan anak sebagai pembuang stress' manakala di sesi ceramah yang lain, saya berkongsi tentang 'peranan ibu sebagai ketua jemaah'.

Secara amnya, ia bergantung kepada wajah hadirin yang bertanya. Seolah-olah saya dapat rasakan apa yang dilaluinya.

Oleh itu, hadir ke ceramah yang tajuknya sama, tidak menjamin isu dan isinya sama. Audien berbeza membentuk iklim perkongsian yang berbeza. 

Jadi, jika anda adalah pelajar yang masih 'struggle' menyiapkan proposal atau tesis, jadilah dermawan yang menghulurkan telinga dan mendermakan masa untuk mendengar panduan dari mereka yang sudah tentu pernah melalui apa yang anda sedang lalui sekarang.

Pengalaman mereka dan anda tidak semestinya sama, tetapi ada yang tidak berbeza.

Siapa yang tahu, dalam 100 panduan yang dikongsi, ada satu yang anda amat cari-cari selama ini tetapi tidak disedari.

Oleh itu, mengulang dengar ibarat mengulang baca.

Keduanya terjalin dalam satu proses ampuh,
membentuk  titik bengek perjalanan yang perlu anda tempuh,
dalam mempercepatkan proses pengajian anda yang asyik tertangguh.

Mujahid ilmu,
terus bangunkan ummah berilmu.


No comments:

Post a Comment