Tuesday, 15 April 2014

Insiden MH370: Peluang guru didik pelajar guna media sosial berhemah, beretika, bermoral

Dr Norliza Kushairi

Misteri kehilangan MH370 telah mengundang pelbagai reaksi dari masyarakat dunia. Setelah masuk hari kelima, masih tiada petunjuk ditemui. Dalam keadaan kita semua buntu dan terpinga-pinga dengan misteri kehilangan ini, ada yang tangkas memanfaatkan media sosial untuk memanjatkan pengharapan dan doa serta mengajak seluruh negara meluahkan perasaan keprihatinan kepada para penumpang dan keluarga mereka. Ini adalah langkah yang bijak dari pengguna laman media sosial yang bertanggungjawab.

Sememangnya, semua orang ingin mendapatkan berita terkini mengenai MH370 dan mengharapkan suatu keajaiban terjadi. Dengan bilangan pengguna internet di Malaysia yang telah menjangkaui 16 juta orang, platform laman sosial merupakan wadah yang efektif samada untuk menyalurkan atau mendapatkan informasi. Kecanggihan media sosial dalam menyebarkan maklumat secara pantas, menyumbang keghairahan pengguna untuk berkomunikasi di alam maya. Jadi tidak harianlah dalam tragedi MH370, maklumat di alam maya paling cepat tersebar dan disebarkan.

Namun, tidak semua maklumat yang dimuat naik atau respon yang diberi dalam media sosial mempunyai kesahihan yang tinggi. Kekadang kerakusan kita memberi komentar terhadap sesuatu status atau informasi tanpa memberi nilai etika dan moral mengundang suatu siri atau rantaian komen yang menampakkan ketidaktamaddunan sesuatu bangsa atau kejahilan seseorang penganut agama.

Melewati berita-berita kehilangan MH370, membawa saya kepada pencetusan pemikiran, persoalan dan pembauran emosi. Komentar-komentar pengguna laman media sosial ada yang membuatkan saya mengalir air mata dalam kekaguman apabila penuh optimis mengajak semua rakyat mendoakan. Namun, pengharapan yang suci itu dicemari apabila melewati komen yang kelihatan kurang ‘matang’.  dalam menjaga hati-hati kaum keluarga mangsa trajedi. Komen sedemikian seolah ketandusan empati dan simpati. Dalam mana-mana agama pun, apabila seseorang dirundung malang, maka yang melihat dan mendengar wajib menenangkan mereka. Kedapatan penulis yang terlampau beremosi memberi komen dengan membuat kesimpulan kepada tragedi MH370 sambil cuba mengaitkannya dengan peristiwa-peristiwa lain yang berlaku dalam negara.

Memang hak menulis adalah milik semua pengguna akaun laman sosial. Tiada siapa yang boleh halang. Namun, corak penulisan yang tiada unsur empati dan simpati dalam keadaan segenting begini perlu menjadi kegusaran kita. Mengapa? Ini kerana sebahagian besar yang memiliki akaun laman sosial ini adalah remaja yang masih kurang pengalamannya dengan sejarah negara. Apabila dikaitkan dengan kedaulatan negara, ia bakal menjadi barah di dalam minda generasi muda. Kebimbangan kita ialah apabila remaja yang belum matang ini tidak dapat menilai secara bijak komen-komen yang tidak ada kaitan dengan peristiwa MH370 yang ditulis secara beremosi. Contohnya, apabila ada komentar yang seolah memberi mesej ‘padan muka’ dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, kita tidak seharusnya lari fokus. Adalah baik memikirkan bahawa semuanya mengandungi hikmah tanpa perlu menokok nambah isu-isu yang tidak berkaitan.  

Bayangkan jika anak-anak sekolah yang membaca komentar sedemikian. Ini akan membuatkan mereka berfikir bahawa meluahkan perasaan secara negatif terhadap peristiwa yang menyedihkan  adalah sesuatu yang boleh diterima. Sedangkan, dalam kurikulum pendidikan negara kita menekankan aspek nilai murni. Bagaimanakah caranya kita menyemai nilai-nilai moral dan etika dalam penggunaan laman media sosial?


Di sinilah guru boleh memainkan peranan mereka. Gunalah kesempatan ini untuk mendidik anak-anak murid menggunakan laman sosial secara berhemah dan bermoral. Sebagai contoh guru boleh memberi tugasan kepada pelajar untuk membaca berita dan komen-komen berkaitan MH370. Minta mereka mengambil bahagian yang aktif dengan memberi komen yang positif berkaitan MH370 dalam laman sosial tersebut. Sekiranya terjumpa komen yang negatif minta mereka neutralkan keadaan dengan memberi komen yang berhemah melalui seruan nasihat dan seumpamanya. Latih mereka untuk merasa penuh bertanggungawab atas setiap kata-kata yang mereka tuliskan kerana setiap perbuatan walau sekecil zarah akan mendapat balasan di akhirat nanti. Satu cara lagi ialah dengan mengintegrasikan fenomena laman sosial dan MH370 ini dengan kemahiran berfikir aras tinggi. Minta mereka tinjau komen-komen pengguna dan berikan pandangan mereka tentang komen negatif yang dipaparkan dalam satu esei ringkas. Kaitkan dengan elemen merentas kurikulum iaitu nilai-nilai murni dalam peradaban manusia dan kepentingan mengekalkan tatasusila dalam suasana genting dan kritikal. Sebagai alternatif, esei ringkas ini boleh dimuat naik sebagai ‘notes’ dalam laman sosial ‘Facebook’. Selain dari itu, ajak pelajar membayangkan andainya mereka berada di tempat keluarga penumpang MH370, dengan bertanyakan, apakah perasaan mereka jika terbaca komen-komen yang tiada unsur simpati? Sanggupkah mereka menghadapinya? Bawalah mereka berfikir bahawa ‘mungkin ini hari mereka (keluarga mangsa) dirundung malang, entah esok atau lusa masa kita pula’. Ajaklah mereka merasa bertimbang rasa apabila meluahkan komen dalam laman sosial yang ditatap umum.

Sebenarnya banyak lagi cara lain yang dapat guru gunakan untuk mengajak murid-murid menjadi pengguna laman sosial yang bermoral dan beretika. Apa yang penting ialah guru dapat melihat ini sebagai satu peluang untuk menanam sikap kebersamaan dalam hal-hal genting negara. Saya yakin guru-guru nampak apa yang cuba saya sampaikan. Ini juga satu peluang untuk menjernihkan pandangan negatif sesetengah golongan masyarakat terhadap profesion perguruan yang pernah terpalit dengan insiden-insiden berbau politik dan perkauman.



Semua orang sedar bahawa anak-anak sekolah adalah pelapis negara. Mereka sebenarnya memerhatikan tingkahlaku kita. Ada pandangan yang mengatakan ‘Untuk melihat masa depan sesuatu negara, lihatlah generasi mudanya’. Andainya budaya ‘padan muka’ disemaikan dalam diri mereka dengan mengenepikan rasa kebersamaan dalam tragedi genting melibatkan maruah dan keselamatan negara, bayangkan bagaimana pandangan pihak luar terhadap kerapuhan perpaduan kita. Kita perlu elak dari orang luar melihat kelemahan negara. Kita perlu elak generasi masa depan tidak ada semangat melindungi ‘air muka negara’. Tidak perlu menggunakan mata pena untuk menimbulkan kecelaruan dan menjauhkan fokus pengharapan. Peranan mata pena adalah untuk mencerdikkan bangsa, bukan menjahanamkannya.

1 comment:

  1. AsSalam.sptmna penulis m'ungkapkan 'guru ptut rebut peluang ini'!insiden Mh370 salah 1 set induksi tbaik dlm mnanam nilai2 murni&patriotism serta kasih syg'!tkasih,good idea

    ReplyDelete