Friday, 4 September 2015

Menilai ni'mat dalam ujian, mengukur ujian dalam ni'mat

Menilai ni'mat dalam ujian, mengukur ujian di dalam ni'mat (DrNK)

Sesetengah orang lancar perjalanan mengaji.
Sesetengahnya pula penuh onak dan duri.
Inilah yang menambahkan rencah ratus cerita PhD.
Menjadikan ia tidak habis-habis dikongsi.

Tatkala kedua-dua peristiwa berlaku di depan mata kita,
akhirnya kita menjadi saksi kepada kejayaan kedua-dua mereka,
Walau pun coretan di diari laluan kejayaan jauhnya berbeza.

Di satu buku catatan
terselit cerita penyelia kematian, bahan kecurian, anak kesakitan,
lalu, mengutip kesukaran sebagai latihan  kesabaran.
Tawadhu' menjadi peneman.

Siri demi siri dalam episod penghambaan,
menyaksikan airmatanya berguguran,
lembut air mata itu, akhirnya menguatkan fikiran,
sejuk air mata itu, akhirnya memanaskan semangat perjuangan.

Tidak putus asa,
berserah dalam usaha,
tawakkal dalam doa.

Lalu terbinalah resepi kejayaan.
Terbangunlah 'substance' personaliti ilmuwan.

Usai kegetiran, perkongsian kejayaan menjadi lazat.
Nilai sebuah ujian. Bertukar menjadi ni'mat.

Di ketika yang lain, seorang rakan merakam catatan
penyelia tidak berkerenah, keluarga tidak bermasalah.

Kurang 'ujian', kurang air mata berguguran. Akhirnya, berjaya.

Gembira? Iya.
Ni'mat? Juga Iya.
Namun nilainya, bagaimana?

Itulah kisah kejayaan yang sama namun berbeza laluannya.

Lalu, apa yang biasanya dikutip dari kejayaan ini?
Apa pula yang dijaja dari kegemilangan ini?
Baik oleh yang mengalaminya atau oleh yang memerhatikannya?

Dalam kedua-dua hal di atas, ia tergantung kepada pemikiran pemiliknya.

Andai yang mudah berjaya bangga mengatakan ia faktor kepandaiannya,
ni'mat yang kembali menjadi ujian padanya.

Andai dia akan jadi lebih tawadhu' mensyukuri kesenangan yang dilimpahi kepadanya,
ni'mat yang membuahkan ni'mat kepadanya.

Pokok pangkalnya adalah nilai altruisma pada ujian dan ni'mat.

Baiklah. Tinggalkan sebentar kisah mereka berdua ini.

Persoalannya, diri kita ini. Apabila kejayaan sudah digenggami, kita telah berada di puncak tinggi, pemikiran yang bagaimana kita miliki; secara kendiri dapat melihat ujian itu satu ni'mat dan ni'mat itu satu ujian, atau orang lain yang melihat ni'mat yang kita miliki sebagai satu ujian buat diri kita?

Bagaimana kita melihat setiap peristiwa dialami, sebagai proses membangunkan diri?

Lalu, saya teringat satu analogi, seorang rakan telah berkongsi: 'money make money'.

Orang yang bijak mencipta kekayaan, mampu mencipta siri-siri kekayaan lain melalui pelaburan asasnya.

Begitulah juga halnya dengan ilmu, jika dipandang dengan lensa ilmuwan, jika difikir beracukan alQuran, sesuatu kejayaan akan membuahkan 'kejayaan intrinsik' yang lain.

Ilmu menjana ilmu. Ibadah menghasilkan ibadah.

Lalu, terpulang kita.
Menilai ni'mat dan ujian dalam satu pengukuran ketaqwaan, adalah peluang penjanaan 'ilmu' yang berpanjangan.

Cebisan renungan buat diriku sendiri. Alhamdulillah. Astaghfirullah.

www.norlizakushairi.blogspot.com
FB:Norliza Kushairi Eyja

1 comment: