My Teaching and Learning Philosophy
- Dr Norliza Kushairi
- Teaching means learning. When we teach, we are questing for knowledge. Hence, learning. Thus, teaching is a manifestation of lifelong learning. Being a teacher, is a lifelong learner, a learning designer. All this is due to my philosophy of "Life is a redox"; when one gives, another has to take, otherwise, life won't exist. Teaching is a devotion, not just a profession.
Wednesday, 16 April 2014
Into the 21st century pedagogical model
Does my way of teaching today differ from when first taught 20 years ago?
Need I change the way I teach?
Do all the learning theories still relevant for me today?
What is it then to be changed?
Why is it to be changed?
How may I change it?
Where am I now?
Loads of questions....endless answers....BUT answer that fits them all....
Teaching is BUT a devotion!
Tuesday, 15 April 2014
Insiden MH370: Peluang guru didik pelajar guna media sosial berhemah, beretika, bermoral
Dr
Norliza Kushairi
Misteri
kehilangan MH370 telah mengundang pelbagai reaksi dari masyarakat dunia. Setelah
masuk hari kelima, masih tiada petunjuk ditemui. Dalam keadaan kita semua buntu
dan terpinga-pinga dengan misteri kehilangan ini, ada yang tangkas memanfaatkan
media sosial untuk memanjatkan pengharapan dan doa serta mengajak seluruh
negara meluahkan perasaan keprihatinan kepada para penumpang dan keluarga
mereka. Ini adalah langkah yang bijak dari pengguna laman media sosial yang
bertanggungjawab.
Sememangnya,
semua orang ingin mendapatkan berita terkini mengenai MH370 dan mengharapkan
suatu keajaiban terjadi. Dengan bilangan pengguna internet di Malaysia yang
telah menjangkaui 16 juta orang, platform laman sosial merupakan wadah yang
efektif samada untuk menyalurkan atau mendapatkan informasi. Kecanggihan media
sosial dalam menyebarkan maklumat secara pantas, menyumbang keghairahan
pengguna untuk berkomunikasi di alam maya. Jadi tidak harianlah dalam tragedi
MH370, maklumat di alam maya paling cepat tersebar dan disebarkan.
Namun,
tidak semua maklumat yang dimuat naik atau respon yang diberi dalam media
sosial mempunyai kesahihan yang tinggi. Kekadang kerakusan kita memberi
komentar terhadap sesuatu status atau informasi tanpa memberi nilai etika dan
moral mengundang suatu siri atau rantaian komen yang menampakkan
ketidaktamaddunan sesuatu bangsa atau kejahilan seseorang penganut agama.
Melewati
berita-berita kehilangan MH370, membawa saya kepada pencetusan pemikiran,
persoalan dan pembauran emosi. Komentar-komentar pengguna laman media sosial
ada yang membuatkan saya mengalir air mata dalam kekaguman apabila penuh
optimis mengajak semua rakyat mendoakan. Namun, pengharapan yang suci itu
dicemari apabila melewati komen yang kelihatan kurang ‘matang’. dalam menjaga hati-hati kaum keluarga mangsa
trajedi. Komen sedemikian seolah ketandusan empati dan simpati. Dalam mana-mana
agama pun, apabila seseorang dirundung malang, maka yang melihat dan mendengar
wajib menenangkan mereka. Kedapatan penulis yang terlampau beremosi memberi
komen dengan membuat kesimpulan kepada tragedi MH370 sambil cuba mengaitkannya
dengan peristiwa-peristiwa lain yang berlaku dalam negara.
Memang
hak menulis adalah milik semua pengguna akaun laman sosial. Tiada siapa yang
boleh halang. Namun, corak penulisan yang tiada unsur empati dan simpati dalam
keadaan segenting begini perlu menjadi kegusaran kita. Mengapa? Ini kerana
sebahagian besar yang memiliki akaun laman sosial ini adalah remaja yang masih
kurang pengalamannya dengan sejarah negara. Apabila dikaitkan dengan kedaulatan
negara, ia bakal menjadi barah di dalam minda generasi muda. Kebimbangan kita ialah
apabila remaja yang belum matang ini tidak dapat menilai secara bijak komen-komen
yang tidak ada kaitan dengan peristiwa MH370 yang ditulis secara beremosi. Contohnya,
apabila ada komentar yang seolah memberi mesej ‘padan muka’ dengan apa yang
berlaku. Sebenarnya, kita tidak seharusnya lari fokus. Adalah baik memikirkan
bahawa semuanya mengandungi hikmah tanpa perlu menokok nambah isu-isu yang
tidak berkaitan.
Bayangkan
jika anak-anak sekolah yang membaca komentar sedemikian. Ini akan membuatkan
mereka berfikir bahawa meluahkan perasaan secara negatif terhadap peristiwa yang
menyedihkan adalah sesuatu yang boleh
diterima. Sedangkan, dalam kurikulum pendidikan negara kita menekankan aspek
nilai murni. Bagaimanakah caranya kita menyemai nilai-nilai moral dan etika
dalam penggunaan laman media sosial?
Di
sinilah guru boleh memainkan peranan mereka. Gunalah kesempatan ini untuk
mendidik anak-anak murid menggunakan laman sosial secara berhemah dan bermoral.
Sebagai contoh guru boleh memberi tugasan kepada pelajar untuk membaca berita
dan komen-komen berkaitan MH370. Minta mereka mengambil bahagian yang aktif
dengan memberi komen yang positif berkaitan MH370 dalam laman sosial tersebut.
Sekiranya terjumpa komen yang negatif minta mereka neutralkan keadaan dengan
memberi komen yang berhemah melalui seruan nasihat dan seumpamanya. Latih
mereka untuk merasa penuh bertanggungawab atas setiap kata-kata yang mereka
tuliskan kerana setiap perbuatan walau sekecil zarah akan mendapat balasan di
akhirat nanti. Satu cara lagi ialah dengan mengintegrasikan fenomena laman
sosial dan MH370 ini dengan kemahiran berfikir aras tinggi. Minta mereka tinjau
komen-komen pengguna dan berikan pandangan mereka tentang komen negatif yang
dipaparkan dalam satu esei ringkas. Kaitkan dengan elemen merentas kurikulum
iaitu nilai-nilai murni dalam peradaban manusia dan kepentingan mengekalkan
tatasusila dalam suasana genting dan kritikal. Sebagai alternatif, esei ringkas
ini boleh dimuat naik sebagai ‘notes’ dalam laman sosial ‘Facebook’. Selain
dari itu, ajak pelajar membayangkan andainya mereka berada di tempat keluarga
penumpang MH370, dengan bertanyakan, apakah perasaan mereka jika terbaca
komen-komen yang tiada unsur simpati? Sanggupkah mereka menghadapinya? Bawalah
mereka berfikir bahawa ‘mungkin ini hari mereka (keluarga mangsa) dirundung
malang, entah esok atau lusa masa kita pula’. Ajaklah mereka merasa bertimbang
rasa apabila meluahkan komen dalam laman sosial yang ditatap umum.
Sebenarnya
banyak lagi cara lain yang dapat guru gunakan untuk mengajak murid-murid
menjadi pengguna laman sosial yang bermoral dan beretika. Apa yang penting
ialah guru dapat melihat ini sebagai satu peluang untuk menanam sikap
kebersamaan dalam hal-hal genting negara. Saya yakin guru-guru nampak apa yang
cuba saya sampaikan. Ini juga satu peluang untuk menjernihkan pandangan negatif
sesetengah golongan masyarakat terhadap profesion perguruan yang pernah
terpalit dengan insiden-insiden berbau politik dan perkauman.
Semua
orang sedar bahawa anak-anak sekolah adalah pelapis negara. Mereka sebenarnya
memerhatikan tingkahlaku kita. Ada pandangan yang mengatakan ‘Untuk melihat
masa depan sesuatu negara, lihatlah generasi mudanya’. Andainya budaya ‘padan
muka’ disemaikan dalam diri mereka dengan mengenepikan rasa kebersamaan dalam
tragedi genting melibatkan maruah dan keselamatan negara, bayangkan bagaimana
pandangan pihak luar terhadap kerapuhan perpaduan kita. Kita perlu elak dari
orang luar melihat kelemahan negara. Kita perlu elak generasi masa depan tidak
ada semangat melindungi ‘air muka negara’. Tidak perlu menggunakan mata pena
untuk menimbulkan kecelaruan dan menjauhkan fokus pengharapan. Peranan mata
pena adalah untuk mencerdikkan bangsa, bukan menjahanamkannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)