Saya kerap diminta menjadi penilai atau pewasit artikel-artikel untuk dimuatkan di dalam jurnal baik di dalam atau di luar negara. Ada juga saya diminta menilai penulisan kertas kerja untuk pembentangan seminar dan seumpamanya.
Dari pengalaman itu, saya boleh buat satu pandangan peribadi yang agak umum iaitu:
Ramai orang
menulis tetapi tidak berfikir.
Kenapa? Kerana
kebanyakannya hanya menyalin dan menampal semula (copy paste?).
Menggabung-gabung beberapa penulisan orang lain dalam satu perenggan tanpa menganalisis dan mengkriitik
idea penulis tersebut.
Ini bukan penulisan. Ini hanya penyalinan. Atau dalam istilah yang lebih
keras-plagiarism.
Mengapa ini berlaku?
Mungkin, kita bimbang atau takut-takut untuk mengkiritik idea orang lain kerana istilah 'mengkritik' tersebut, dalam konteks adat budaya kita, bunyinya negatif.
Kita takut untuk mengkiritik idea para sarjana yang tersohor kerana mereka memang sudah dinobatkan pakar dalam bidang tersebut.
JIka inilah pemikiran dan kepercayaan kita, maka pengembangan imu akan menjadi lesu.
Sebenarnya, di dalam penulisan akademik, mengkritik adalah satu kemahiran asas yang sangat penitng.
Di Barat, budaya 'mengkritik' idea-idea penulis lain atau sarjana lain adalah satu aktiviti sihat di dalam bidang akademik. Sejak kecil, murid-murid telah diminta berfikir tentang pandangan yang diutarakan oleh orang lain, dan memberikan pandangan sendiri apabila memberi respon kepada idea orang lain.
Aktiviti sebegini menjadi satu latihan mental yang sangat baik. Aktiviti mengasah domain kognitif agar sentiasa mendengar dengan tajam, kritikal dan analitikal kerana diujungnya, kita perlu memberikan makumbalas atau pandangan sendiri. Dan pandangan yang kita berikan haruslah ada rasional dan justifikasinya.
Inilah yang kita perlu lakukan.
Guru-guru, perlulah memulakan latihan ini dari dalam kelas. Inilah KBAT yang ditekankan dalam kurikulum kita sekarang.
Ibu bapa, bersoaljawablah dengan anak-anak kita.
Misalnya: Apa adik buat hari ini? Mengapa adik buat begitu? Mengapa adik tidak buat begini? Mengapa adik rasa pandangan adik betul? Mengapa adik tidak setuju dengan pandangan abang?