Siri Penulisan: "Road to Scholarly Teachers"
Kawan-kawan, jika penulisan ini bermanfaat, mohon kongsikan dengan para pelajar agar menjadi jariah kepada penulisnya.
******************************************************
Sering kali kita terjumpa penulisan pelajar yang memetik sumber sekunder di dalam teks mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan sumber sekunder?
Satu petikan dari penulis yang dimasukkan ke dalam penulisan kita tetapi ia diperolehi melalui sumber lain, bukan dari penulis asal. Bermaksud kita sebagai penulis, TIDAK membaca sumber asal, cuma membacanya dari sumber kedua.
Terdapat syarat atau keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan kita memetik sumber sekunder. Antaranya ialah seperti berikut:
1. Sumber asal adalah terlalu klasik (atau antik???) ditulis oleh sarjana dahulu kala namun masih dirujuk oleh kerana teori yang dipeloporinya masih relevan hingga kini. Contoh Einstein, Dewey, Bruner, Piager, Dave, Imam Bukhari, Imam Muslim dan ramai lagi
2. Buku atau sumber asal disahkan tiada dalam simpanan perpustakaan seantero dunia
3. Buku atau sumber asal berada dalam arkib dan sukar untuk diakses walaupun telah menggunakan pelbagai cara
4. dan mana-mana keadaan yang logik yang membenarkan petikan sumber sekunder dilakukan oleh penulis
Jadi apabila berlaku keadaan demikian, penulis boleh memetik sumber tersebut secara sumber sekunder tapi mestilah dengan cara yang beretika.
Lihat contoh di bawah, adakah ia tatacara yang betul dalam memetik sumber kedua?
1. Menurut Piaget (2017, dipetik dalam Plato, 2010), pendidikan merupakan satu proses yang berterusan di mana kehidupan itu sendiri ialah pendidikan....
-Anda (sebagai penulis) ingin memetik Piaget (2017) yang dijumpai dalam penulisan Plato (2010).
2. Kajian oleh Mohammad (2016) menunjukkan bahawa 90% pelajar pasacasiswah menghadapi masalah dalam penulisan akademik di mana sering ditemui mereka menulis dalam gaya 'salin dan tampal' di dalam pelaporan kursus akademik mereka; suatu keadaan yang menggambarkan tahap kemahiran pemikiran dan penulisan kritikal yang membimbangkan. Hal ini menimbulkan tanda tanya berkaitan latihan dan mutu penyeliaan yang diterima oleh pelajar terbabit sewaktu di insititusi pendidikan yang menganugerahkan ijazah pertama mereka. Dapatan ini disokong oleh Piaget (1967) yang mengatakan bahawa.....
-Anda sebagai penulis berhujah tentang kajian Muhammad. Anda ingin menyatakan bahawa kajian Muhammad menyokong teori Piaget.
**************************
Dalam kedua-dua contoh di atas, dapatkan anda melihat kesilapannya?
Jika anda dapat mengesan kesilapannya, maka anda merupakan penyelia atau pembaca yang tajam pengamatan dan kritikal pemikirannya semasa membaca/memeriksa kerja pelajar anda.
Jika tidak, andalah salah seorang penyelia/tenaga pengajar yang dimaksudkan dalam kajian Mohammad (2016) tadi; iaitu tidak berfikiran kritikal semasa menyemak kerja pelajar dan tidak sedar pun apakah sebenarnya tatacara beretika dalam memetik sumber sekunder (jangen mare errr).
Dalam hal ini, sebagai pembaca, penilai mahu pun penyelia, pemikiran kritikal dan pembacaan analitikal dalam mengesan dan mengamati penulisan yang beretika adalah merupakan kriteria penting dalam menentukan mutu sarjana yang kita akan lahirkan nanti (sebenarnya bab pemikiran dan penulisan kritikal ni satu bab yang lain, insyaAllah kita akan bercakap mengenai penulisan kritikal dalam kesempatan yang lain).
Untuk post hari ini, mari kita fokus kepada teknik memetik sumber sekunder dahulu.
1. Dalam no 1 di atas, Plato menulis artikel dalam tahun 2010, manakala Piaget menulis artikelnya dalam tahun 2017. Dari segi kronologi, logikkah, si Plato dalam tahun 2010 memetik Piaget yg belum pun lagi menulis artikelnya pada waktu itu? Maka ini kesilapan yang besar.
Saya sering berjumpa pelajar yang menulis sebegini.
2. Sementara dalam contoh no. 2 pula:
a) Masakan dapatan Mohammad yang ditulis pada tahun 2016, disokong oleh Piaget pada tahun 1967. Jadi ia kesilapan teknikal dari segi ayat. Namun, konotasi di sini ialah ia membayangkan penulis tidak faham teknik penulisan akademik. Penulisan ini perlu diolah semula.
Mungkin apa yang ingin dikatakan oleh anda sebagai penulis dalam contoh 2 ialah begini:
b) Kajian oleh Mohammad (2016) menunjukkan bahawa 90% pelajar pasacasiswah menghadapi masalah dalam penulisan akademik di mana sering ditemui mereka menulis dalam gaya 'salin dan tampal' di dalam pelaporan kursus akademik mereka; suatu keadaan yang menggambarkan tahap kemahiran pemikiran dan penulisan kritikal yang membimbangkan. Hal ini menimbulkan tanda tanya berkaitan latihan dan mutu penyeliaan yang diterima oleh pelajar terbabit sewaktu di insititusi pendidikan yang menganugerahkan ijazah pertama mereka. Dapatan ini menyokong teori yang dikemukakan oleh Piaget (1967) dan Bruner (1983) bahawa pemikiran kritikal merupakan ciri-ciri yang wajib ada pada seorang pelajar yang sedang dibentuk menjadi seorang sarjana atau graduan tersedia masa depan.....
Itu adalah contoh berhujah secara akademik (contoh sahaja....belum cukup kritikal dan analitikal lagi tu, kita akan bercakap mengenai hal ini di waktu lain). Tapi maksud ayat dalam 2(b) sudah berbeza dr 2(a) tadi. Kenapa? kerana 'dapatan ini menyokong' adalah tidak sama dengan 'dapatan ini disokong'
Sebenarnya, apabila kita menjumpai literatur atau penulisan yang banyak in-text citations dan rujukan, itu bermakna sumber itu boleh dipercayai (reliable). Dalam erti kata lain, apabila kita menjumpai banyak petikan dan maklumat berguna dalam sumber tersebut yang merujuk atau berasal dari sumber yang lain, maka literatur tersebut tinggi kebolehpercayaannya.
Walau bagaimanapun, ada kaedahnya untuk memetik sumber sekunder. Mengikut stail APA:
1. Kita perlulah memberi kredit kepada kedua-dua sumber asal dan sumber kedua yang bermaksud kita perlu memberitahu pembaca sumber asal bahan tersebut dan sumber sekunder (iaitu dari mana kita perolehi sumber asal tadi).
Jadi:
Keadaan 1:
Menurut Piaget (1967, dipetik dalam Norliza, 2010), pendidikan merupakan satu proses yang berterusan di mana kehidupan itu sendiri ialah pendidikan....
Perhatikan:
a) Logik kronologi iaitu susunan tahun.
b) Dalam senarai rujukan di hujung artikel anda, hanya senaraikan Norliza (2010) sahaja. Piaget tidak perlu kerana literatur asal ini sudah tidak boleh diperolehi dari mana-mana sumber melainkan dalam penulisan sarjana terkemudian sahaja. Anda hanya membaca pandangan Piaget melalui tulisan Norliza sahaja.
Keadaan 2:
Anda ingin memetik satu kajian oleh Norliza et al. (2016) yang mana di dalamnya terdapat pelbagai kajian orang lain pula iaitu Omar dan Aminah (2011), dan Ikram dan Kamsiah (2012) (kesemua ini adalah sumber asal).
Contoh penulisan yang betul:
Terdapat peningkatan nilai dalam pandangan masyarakat terhadap tugas seorang guru yang melihat guru sebagai "pembelajar sepanjang hayat yang sebenar kerana manifestasi pembelajaran secara berterusan sepanjang karier seorang guru rentetan perubahan yang drastik dan dinamik yang didepani mereka" (Omar dan Aminah, 2011; dan Ikram dan Kamsiah, 2012)" (Norliza et al., 2016, p 18).
Perhatikan:
a) Cara membuat petikan di atas.
b) PENTING: di dalam senarai Rujukan (pada hujung artikel anda, HANYA petik sumber Norliza sahaja. Omar dan Aminah (2011), dan Ikram dan Kamsiah (2012) TIDAK PERLU kerana ia sumber kedua yang anda tidak dapat akses.
Cuma, perlulah diingat, jika sumber asal adalah agak baharu, dalam lingkungan 10 tahun begitu, anda DISARANKAN untuk mendapatkan sumber asal secara bersungguh-sunnguh dahulu. Jika segala ikhtiar tidak membuahkan hasil, baharulah kaedah sumber kedua dibenarkan.
Di sini, etika penyelidik haruslah anda praktikkan setiap masa!
Sekian, untuk post kali ini. InsyaAllah jumpa lagi di lain kesempatan.
Jika bermanfaat, mohon kongsikan.
Mohon betulkan jika saya salah...jom kita belajar bersama-sama...
Road to scholarly teachers!
Wallahua'lam-DrNK
My Teaching and Learning Philosophy
- Dr Norliza Kushairi
- Teaching means learning. When we teach, we are questing for knowledge. Hence, learning. Thus, teaching is a manifestation of lifelong learning. Being a teacher, is a lifelong learner, a learning designer. All this is due to my philosophy of "Life is a redox"; when one gives, another has to take, otherwise, life won't exist. Teaching is a devotion, not just a profession.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Terima kasih. Info sangat membantu.
ReplyDelete