Baru-baru ni saya terdengar perbualan di antara dua orang pelajar PhD di dalam sebuah perpustakaan. Mereka sedang berkira-kira untuk membeli perisian NViVo dengan penuh semangat. Dalam perbualan mereka, saya dapat mengesan salah faham tentang fungsi perisian NViVO - masukkan sahaja data temu bual dalam NViVo dan tema-tema akan dijana secara otomatik.
Jika boleh saya analogikan, fahaman tersebut ibarat begini: kita masukkan kad ATM ke dalam mesin dan taraaa! Duit pun keluar (itupun jika akaun berduit).
Atau begini: kita adalah Doraemon yang sedang memegang mesin ajaib dan sambil berkata 'Keluarkan Temaaa!' maka membuak-buak tema yang keluar sebagai dapatan kajian kita.
Lalu dengan rasa kasihan dan niat ingin membantu, saya beranikan diri menanyakan
beberapa soalan kepada mereka, yang boleh saya ringkaskan begini:
1. Berapa kali telah dengar rakaman temu bual tersebut?
2.Sudahkah ditranskrip temubual tersebut?
Jawab mereka: Oh belum lagi...nanti kami masukkan semua tu dlm NViVo lah... Nanti dia analisislah.
Nah, ini kesilapan besar. Tanpa mendengarnya sendiri berulangkali, sebelum melakukan transkripsi, kita tak mungkin dapat memulakan analisis kerana proses mendengar data berulangkali adalah sebenarnya permulaan analisis (pra-analisis).
Kenapa?
Proses mendengar temubual perlu dilakukan berulang kali kerana ia merupakan peluang untuk kita mula mengesan kod-kod dan corak-corak awal data tersebut. Sambil mendengar kita boleh membuat beberapa catatan atau 'memo'.
Bila kita mentranskripsikan temu bual, sekali lagi kita mendengarnya dan pada waktu ini kita sepatutnya telah dapat menangkap kod-kod yang berpotensi untuk dikumpulkan.
Setelah itu, baharulah kita memasukkan transkripsi ke dalam mesin NviVo.
Proses pra-analisis di atas dilakukan secara manual.
Akhir sekali saya tanya, sambil mata saya melilau ke serata meja mencari sebarang buku rujukan yg mereka gunakan 'Sudahkah dirujuk, dibaca dan difahami buku-buku berkaitan prosedur analisis data kualitatif?'
Belum.
Nah. Anda pembaca dapat kesan silapnya?
Kelihatannya, mereka tidak faham 'requirement' atau 'prerequisite' sebelum gunakan NViVo atau sebarang perisian menganalisis.
NViVo bukan mesin Doraemon di mana kita boleh membuat hajat meminta segala dapatan keluar. Kitalah (penyelidik) yang akan menentukan bagaimana tema itu keluar. Kitalah yang perlu menetapkan kod-kod yang timbul dari data.
Kesimpulannya, dalam pendekatan kualitatif, kitalah (penyelidik) instrumen sebenar dalam penyelidikan. Kitalah yg menentukan kod, kategori dan akhirnya tema dari data itu. NViVo atau apa sahaja cuma mengikut arahan seperti mana mana yg kita arahkan.
Jadi, belajarlah menganalisis secara MANUAL dahulu. Kemudian, baharulah kita boleh menjadi Doraemon yang berhajat kepada mesin ajaib NViVO untuk menguruskan data kita.
DrNK 27 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment