Saturday, 3 November 2012

Berita Harian, 17 Oktober 2012 (1 Zulhijjah 1433H) hlmn 29



PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT: PERANAN GURU DALAM MENUNTUT ILMU
Dr Norliza Kushairi

Polisi pendidikan sentiasa berubah-ubah sejajar dengan tuntutan perubahan yang berlaku dalam ekonomi dan pemodenan kehidupan. Terkini, pembelajaran sepanjang hayat telah menjelma sebagai suatu polisi yang mula diambil berat oleh negara maju dan negara membangun di dalam konteks globalisasi dan pemodenan. Idea pembelajaran sepanjang hayat bukanlah sesuatu yang baru. Ia terlakar dalam sejarah seawal tahun 1920an melalui usaha-usaha oleh cendikiawan (antaranya Basil Yeaxlee, Eduard Lindeman, Albert Mansfield, R. H. Tawney, John Dewey ) sehinggalah kini. Malah sedari zaman Plato, education is life adalah tonggak asas falsafah beliau.  Barangkali, gerakan yang paling agresif dilakukan oleh Edgar Faure melalui laporannya berjudul Learning To Be (1972). Namun, pada waktu itu beliau tidak mendapat respon yang sewajarnya daripada penggubal sistem pendidikan. Hampir dua dekad berlalu, iaitu dalam tahun 1990an, baharulah usaha Faure mula diberi perhatian oleh Suruhanjaya Eropah dan UNESCO. Klimaks idea ini mendapat perhatian dunia ialah apabila pihak UNESCO mendeklarasikan tahun 1996 sebagai Lifelong Learning Year. Bertitik tolak dari situ, UNESCO dan Suruhanjaya Kesatuan Eropah telah mensasarkan pewujudan masyarakat berilmu (learning society) sebagai tema atau matlamat globalisasinya (European Commission, 2000). Penekanan yang diberikan oleh UNESCO dan  Suruhanjaya Kesatuan Eropah ini menjadikan keperluan belajar secara berterusan satu kemestian bagi setiap individu.

Tempias desakan ini dirasai di negara kita apabila kerajaan mengambil inisiatif mensasarkan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat dalam masyarakat melalui pelbagai pendekatan dan program pembelajaran. Antara salah satu usaha yang menampakkan kesungguhan kerajaan adalah pelancaran Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Open Uiniversiti Malaysia (OUM) pada 14 November 2011. Kefahaman tentang peri pentingnya pembelajaran sepanjang hayat bermakna setiap individu sehinggalah kepada organsisasi perlu mengadaptasikan diri menjadi masyarakat yang sentiasa belajar memperbaiki nilai atau ketrampilan diri sepanjang masa tanpa dicemburui rasa jemu (IIEP, 2003). Kesediaan belajar secara berterusan inilah merupakan indikator masyarakat berilmu.
Dengan bilangan penduduk dewasa (melepasi era pendidikan wajib) semakin meningkat, secara tidak langsungnya, perkara yang kritikal adalah membangunkan pendidikan untuk orang dewasa. Oleh itu, pembelajaran pasca wajib (post-compulsory education) atau pembelajaran tertiary adalah satu aspek yang relevan khususnya melalui pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning). Selain dari persekitaran kerja itu sendiri, akses kepada peluang pembelajaran bagi orang dewasa kini telah diperluaskan dengan adanya tawaran pelbagai program pembelajaran yang boleh dilakukan secara sambilan di institusi pengajian tinggi samada secara bersemuka atau secara maya. Pendekatan ini sangatlah bersesuaian memandangkan secara realitinya, kemahiran di tempat kerja sentiasa berubah secara dinamik. Manakan mungkin sebuah negara itu mampu berdayasaing secara global andai rakyatnya dari kumpulan pekerja, malas belajar memperbaiki kemahiran diri.
Bercakap tentang perubahan dinamik di persekitan kerja, tidaklah perlu kita mencari contoh yang jauh. Lihat sahajalah tugas guru dewasa ini. Disebabkan oleh perubahan dalam ekonomi dan sistem pendidikan, guru merupakan golongan yang sentiasa terdedah kepada tuntutan dan cabaran baru (International Labor Organisation, 2000). Sebagai golongan yang dipertanggungjawabkan memacu sistem pendidikan negara ke tahap unggul, guru adalah penjawat awam yang memikul amanah dalam kemandirian kemajuan negara dan maruah bangsa. Ini dapat dilihat dari aspirasi NKRA pendidikan yang memberi penekanan kepada peningkatan pencapaian pelajar secara menyeluruh meliputi intelektual, emosi, rohani dan jasmani untuk melonjakkan imej sistem pendidikan negara. Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat penting dalam membangunkan modal insan cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya hasrat menjadi negara membangun menjelang 2020 tercapai. Dengan tuntutan perubahan ini, kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja pendidik, tidak boleh tidak, perlulah sentiasa dikemaskini. Atchoarena (2002) menyatakan bahawa Improving the knowledge and skills of the workforce is considered to be a key element or realizing lifelong learning for all. Sungguhlah benar dengan fitrah kerja seorang guru. Maka tidak hairanlah, dewasa ini, berbagai insentif, pemudahcara dan pendekatan disediakan untuk menggalakkan guru menyambung pengajian. Mod jarak jauh atau sambilan, secara bersemuka atau maya, telah menjadikan peluang-peluang pendidikan dan pembelajaran dapat dicapai oleh kebanyakan guru pada kadar yang munasabah. Dek kesedaran dari perspektif yang pelbagai ini, guru-guru berpeluang untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka. Inilah salah satu usaha kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dikhususkan kepada para guru untuk  memartabatkan professionalisme guru.
Bagi yang ingin melihat dari sudut agama pula, fitrah kerja yang berdepan perubahan dinamik dan adakalanya drastik menjadikan amalan menuntut ilmu secara berterusan suatu ibadah. Sayugia menuntut ilmu berterusan adalah sangat sinonim dengan kerja buat seorang guru. Sesungguhnya beruntunglah bagi guru yang menyedari keperluan ini dan menzahirkannya dalam perbuatan seharian kerana usaha mencari ilmu ini diberi ganjaran yang pelbagai oleh Allah SWT sepertimana sabda Nabi SAW, daripada Abu Darda RA, beliau berkata:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah mempermudahkan baginya satu jalan ke syurga.

Menuntut ilmu wajar diperhalusi dari perspektif agama demi melahirkan guru yang mempunyai makna atau isi (substance). Terlahirnya guru yang berwatak dari sisi kemantapan ilmu pengetahuan  dan kemahiran, menjamin kelangsungan modal insan yang berkualiti. Seharusnya, ilmu yang bermanfaat dapat membentuk guru yang tawadhuk; tawadhuk dalam amanah menyampaikan ilmu yang diperolehi dan tawadhuk dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari. Bagi guru yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh para ilmuwan. Firman Allah bermaksud:
Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu). (Surah al-Fathir: 28)
Namun, dalam kelangsungan program-program peningkatan akademik yang ditawarkan kepada para guru, dan dalam keghairahan para guru menyertainya, dunia pendidikan agak terkilan dengan senario rakan-rakan guru yang kecundang sebelum 'peperangan' sebenar bermula. Jika benarlah orang yang menuntut ilmu diumpamakan seperti orang yang berjihad, maka persoalan di sini adalah, sejauh manakah para guru memiliki substance dan ketegaran (resilience) dalam menangani cabaran-cabaran belajar? Apakah tiada persiapan mental dan fizikal yang ampuh dalam mendepani pedang cabaran dan liku-liku sebagai pejuang ilmu? Di manakah sinergi menuntut ilmu itu tiris? Wahai para guru pencorak modal insan negara, andai benar belajar sepanjang hayat adalah fitrah kerja buat kita, ayuhlah mereformasi niat belajar kita. Seterusnya berusaha, istiqamah dan kemudian bertawakallah.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah.

No comments:

Post a Comment