Kemahiran
belajar abad 21: Retorik atau manifestasi?
Dr
Norliza Kushairi
“Ayu, tolong ibu buka
komputer ni nak, dia syik ‘hang’ aje dari tadi”. Ayu menghampiri ibunya. Ayu
dapat rasakan ibunya teruja dengan komputer barunya itu. “Laa Bu, baterinya ‘low’
...patut lah dia tak nak ‘start’. Tu ha, dia tulis tu”. Ketawa mereka berderai.
Senario di atas mungkin pernah terjadi pada anda - dalam
keadaan sudah berusia, teknologi menerpa, mendesak anda menggunakannya. ‘Katak
di bawah tempurung’ – perumpamaan ini mungkin menggambarkan anda jika manfaat
teknologi ini dinafikan. Hasil kecanggihan teknologi, seluruh kehidupan
sekarang, dari membayar bil telefon, membeli barangan, pergi bercuti semuanya
boleh dibuat atas talian. Baik surirumah atau orang berkerjaya, teknologi ini
satu keperluan.
Guru,
teknologi dan literasi maklumat
Peralatan komunikasi sekarang seperti telefon bimbit anda
dilengkapi pelbagai aplikasi capaian maklumat. Jika anda seorang guru, sementelah
pula sedang menyambung pengajian, bagaimana anda memanfaatkan teknologi yang
sering anda bawa di dalam poket anda? Adakah hanya sekadar menyemak status
mukabuku kawan anda atau mengemaskini status dinding mukabuku anda?
Kemahiran literasi atau celik maklumat adalah penting supaya
anda dapat terus menghidupkan dunia pendidikan
yang sering terdedah kepada pelbagai perubahan. Kehadiran peralatan komunikasi melalui
teknologi yang canggih adalah pemudahcara untuk memiliki kemahiran ini, di mana
saja, pada bila-bila masa. Kini, untuk mencapai maklumat, anda tidak semestinya
ke perpustakaan. Semuanya kini di hujung jari anda. Tapi jika anda adalah empunya
kepada jari yang buta maklumat, telefon canggih anda tidak ubah seperti mesin
empat segi yang tidak bernyawa. Jadi teknologi komunikasi bukanlah untuk
dilihat sebagai ancaman dan sekaligus dinafikan. Ianya perlu dilihat dari sudut
peluang. Teknologi memungkinkan literasi maklumat dimahiri. Dalam konteks
pembelajaran abad 21, kemahiran literasi maklumat adalah unsur penting pembelajaran
sepanjang hayat. Ia dapat menghidupkan pembelajaran anda.
Belajar
dari yang lebih muda?
Dalam contoh ibu Ayu, yang tersurat ialah dalam usia
senja, beliau terpaksa belajar sesuatu
yang agak baharu. Yang tersirat ialah, orang yang berusia boleh belajar
daripada orang yang jauh lebih muda. Konotasinya, tanpa mengira had umur,
pembelajaran perlu diteruskan. Dalam konteks ini, pernahkah anda terfikir
bahawa simpulan bahasa ‘makan garam’ itu
relevan? Ternyata dalam konteks mencari ilmu melalui teknologi maklumat sekarang,
orang yang ‘makan garam lebih dahulu’ ketinggalan jua dalam beberapa aspek
kehidupan berbanding orang muda. Pepatah Inggeris ada menyebut ‘..by the virtue of age...’ untuk
menggambarkan hubungan usia dengan ilmu. Masih relevankah dengan kemahiran
literasi maklumat yang perlu kita miliki sekarang kerana ternyata anak-anak
remaja telah mendahului kita dalam aplikasi dan adaptasi teknologi maklumat
ini.
Suri
teladan penggunaan teknologi secara bermoral
Berbalik kepada kemahiran literasi maklumat yang
guru-guru perlu miliki, anda mampu perolehinya dari anak-anak atau
pelajar-pelajar anda sekiranya mereka memiliki peralatan komunikasi yang
dilengkapi capaian laman sesawang. Sebagai ibu bapa, anda sendiri yang bekalkan
peralatan ini kepada mereka untuk keselamatan. Jadi, kenapa tidak menggunakan kesempatan
ini untuk mengajak anak-anak anda meneroka bersama-sama, mencari informasi yang berguna. Pelayar Google
umpamanya boleh membawa anda ke pelusuk dunia informasi, hatta sebuah Al-Quran pun
boleh anda simpan di dalam alat sebesar tapak tangan dengan hanya seberat 100
gram itu!. Dan yang lebih menarik, anda
boleh mencapainya pada bila-bila masa di mana jua. Secara tidak langsung, ini mendidik
anak anda bahawa telefon canggih mereka
bukan sekadar untuk bersosial sahaja. Pendekatan
sebegini yang diambil oleh ibu bapa atau guru, akan meminimumkan salah tanggapan
remaja dan orang awam terhadap kemampuan telefon bimbit yang terhad. Ianya
adalah alat bantu belajar yang baik sekiranya kemahiran literasi maklumat
dididik kepada mereka. Jika pemahaman
ini wujud, ‘pemikiran di luar kotak’ dan ‘pembelajaran di luar dinding kelas’
sebagai ciri-ciri sekolah alaf 21 akan benar-benar berlaku di Malaysia. Saya
sendiri pernah menggunakannya semasa mengajar dan ternyata ianya amat
menyeronokkan. Anak saya sering menggunakan telefon bimbitnya untuk mencari
maklumat bagi kerja sekolah sewaktu di rumah kerana ianya lebih laju dan
saiznya yang lebih kecil dari komputer peribadi. Dalam konteks ini, belajar dari anak atau
pelajar adalah perlu kerana mereka ‘guru’ yang signifikan buat anda!
Di samping itu, ia
dapat menggalakkan anak anda menggunakan
teknologi dengan cara bermoral. Maka kemahiran pembelajaran sepanjang hayat melalui
kemahiran literasi dapat dimanifestasikan dalam kehidupan. Andai ia hanya
sebutan di bibir sahaja, tanpa kefahaman, tanpa refleksi, tanpa melihat
hubungan mengapa dan bagaimana kecanggihan teknologi dengan kemahiran literasi
maklumat dapat bersatu, pembelajaran sepanjang hayat adalah retorik semata!
Good. I like this. Tahniah.
ReplyDeleteTerbaikkkk...Dr Eyja
ReplyDelete