PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT: PERANAN GURU DALAM MENUNTUT ILMU
Dr Norliza Kushairi
Polisi pendidikan
sentiasa berubah-ubah sejajar dengan tuntutan perubahan yang berlaku dalam
ekonomi dan pemodenan kehidupan. Terkini, pembelajaran sepanjang hayat telah menjelma
sebagai suatu polisi yang mula diambil berat oleh negara maju dan negara
membangun di dalam konteks globalisasi dan pemodenan. Idea pembelajaran
sepanjang hayat bukanlah sesuatu yang baru. Ia terlakar dalam sejarah seawal
tahun 1920an melalui usaha-usaha oleh cendikiawan (antaranya Basil Yeaxlee, Eduard
Lindeman, Albert Mansfield, R. H. Tawney, John Dewey ) sehinggalah kini. Malah sedari zaman
Plato, ‘education is life’ adalah tonggak asas falsafah
beliau. Barangkali, gerakan yang paling
agresif dilakukan oleh Edgar Faure melalui laporannya berjudul ‘Learning To Be’ (1972). Namun, pada waktu itu beliau
tidak mendapat respon yang sewajarnya daripada penggubal sistem pendidikan.
Hampir dua dekad berlalu, iaitu dalam tahun 1990an, baharulah usaha Faure mula
diberi perhatian oleh Suruhanjaya Eropah dan UNESCO. Klimaks idea ini mendapat
perhatian dunia ialah apabila pihak UNESCO mendeklarasikan tahun 1996 sebagai ‘Lifelong Learning Year’. Bertitik tolak dari situ, UNESCO dan
Suruhanjaya Kesatuan Eropah telah mensasarkan pewujudan ‘masyarakat berilmu’ (learning
society) sebagai tema atau matlamat globalisasinya (European Commission,
2000). Penekanan yang diberikan oleh UNESCO dan
Suruhanjaya Kesatuan Eropah ini menjadikan keperluan ‘belajar secara berterusan’ satu kemestian bagi
setiap individu.
Tempias desakan ini dirasai di negara kita apabila kerajaan
mengambil inisiatif mensasarkan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat dalam
masyarakat melalui pelbagai pendekatan dan program pembelajaran. Antara salah
satu usaha yang menampakkan kesungguhan kerajaan adalah pelancaran Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional
2011-2020 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Open Uiniversiti Malaysia (OUM) pada 14
November 2011. Kefahaman tentang
peri pentingnya pembelajaran sepanjang hayat bermakna setiap individu
sehinggalah kepada organsisasi perlu mengadaptasikan diri menjadi masyarakat
yang sentiasa belajar memperbaiki nilai atau ketrampilan diri sepanjang masa
tanpa dicemburui rasa jemu (IIEP, 2003). Kesediaan belajar secara berterusan
inilah merupakan indikator masyarakat berilmu.
Dengan bilangan penduduk dewasa (melepasi era pendidikan
wajib) semakin meningkat, secara tidak langsungnya, perkara yang kritikal
adalah membangunkan pendidikan untuk orang dewasa. Oleh itu, pembelajaran pasca
wajib (post-compulsory education)
atau pembelajaran tertiary adalah satu aspek yang relevan khususnya melalui pembelajaran
berasaskan kerja (work-based learning).
Selain dari persekitaran kerja itu sendiri, akses kepada peluang pembelajaran
bagi orang dewasa kini telah diperluaskan dengan adanya tawaran pelbagai
program pembelajaran yang boleh dilakukan secara sambilan di institusi
pengajian tinggi samada secara bersemuka atau secara maya. Pendekatan ini
sangatlah bersesuaian memandangkan secara realitinya, kemahiran di tempat kerja
sentiasa berubah secara dinamik. Manakan mungkin sebuah negara itu mampu
berdayasaing secara global andai rakyatnya dari kumpulan pekerja, malas belajar
memperbaiki kemahiran diri.
Bercakap tentang perubahan dinamik di persekitan kerja,
tidaklah perlu kita mencari contoh yang jauh. Lihat sahajalah tugas guru dewasa
ini. Disebabkan oleh perubahan dalam ekonomi dan sistem pendidikan, guru
merupakan golongan yang sentiasa terdedah kepada tuntutan dan cabaran baru
(International Labor Organisation, 2000). Sebagai golongan yang
dipertanggungjawabkan memacu sistem pendidikan negara ke tahap unggul, guru
adalah penjawat awam yang memikul amanah dalam kemandirian kemajuan negara dan
maruah bangsa. Ini dapat dilihat dari aspirasi NKRA pendidikan yang memberi
penekanan kepada peningkatan pencapaian pelajar secara menyeluruh meliputi
intelektual, emosi, rohani dan jasmani untuk melonjakkan imej sistem pendidikan
negara. Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat penting dalam
membangunkan modal insan cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya
hasrat menjadi negara membangun menjelang 2020 tercapai. Dengan tuntutan
perubahan ini, kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja pendidik, tidak boleh
tidak, perlulah sentiasa dikemaskini. Atchoarena (2002) menyatakan bahawa ‘Improving the knowledge and skills of
the workforce is considered to be a key element or realizing lifelong learning
for all’. Sungguhlah benar dengan fitrah kerja seorang guru. Maka
tidak hairanlah, dewasa ini, berbagai
insentif, pemudahcara dan pendekatan disediakan untuk menggalakkan guru
menyambung pengajian. Mod jarak jauh atau sambilan, secara bersemuka atau maya,
telah menjadikan peluang-peluang pendidikan dan pembelajaran dapat dicapai oleh
kebanyakan guru pada kadar yang munasabah. Dek kesedaran dari perspektif yang
pelbagai ini, guru-guru berpeluang untuk meningkatkan pencapaian akademik
mereka. Inilah
salah satu usaha kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dikhususkan kepada para guru untuk memartabatkan professionalisme guru.
Bagi yang ingin melihat dari sudut agama
pula, fitrah kerja yang berdepan perubahan dinamik dan adakalanya drastik menjadikan amalan menuntut ilmu secara
berterusan suatu ibadah. Sayugia menuntut ilmu berterusan adalah sangat sinonim
dengan kerja buat seorang guru. Sesungguhnya beruntunglah bagi guru yang
menyedari keperluan ini dan menzahirkannya dalam perbuatan seharian kerana
usaha mencari ilmu ini diberi ganjaran yang pelbagai oleh Allah SWT sepertimana
sabda Nabi SAW, daripada Abu Darda’ RA, beliau berkata:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah mempermudahkan
baginya satu jalan ke syurga.
Menuntut ilmu wajar diperhalusi dari perspektif agama demi
melahirkan guru yang mempunyai makna’ atau ‘isi’ (substance). Terlahirnya guru yang berwatak dari sisi
kemantapan ilmu pengetahuan dan
kemahiran, menjamin kelangsungan modal insan yang berkualiti. Seharusnya, ilmu
yang bermanfaat dapat membentuk guru yang tawadhuk; tawadhuk dalam amanah
menyampaikan ilmu yang diperolehi dan tawadhuk dalam mengamalkan ilmu yang
dipelajari. Bagi guru yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan
membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang
yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki
oleh para ilmuwan. Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang takut (taat)
kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu).” (Surah al-Fathir: 28)
Namun, dalam kelangsungan program-program peningkatan
akademik yang ditawarkan kepada para guru, dan dalam keghairahan para guru
menyertainya, dunia pendidikan agak terkilan dengan senario rakan-rakan guru
yang kecundang sebelum 'peperangan' sebenar bermula. Jika benarlah orang yang
menuntut ilmu diumpamakan seperti orang yang berjihad, maka persoalan di sini
adalah, sejauh manakah para guru memiliki ‘substance’ dan ketegaran (resilience)
dalam menangani cabaran-cabaran belajar? Apakah tiada persiapan mental dan
fizikal yang ampuh dalam mendepani pedang cabaran dan liku-liku sebagai pejuang
ilmu? Di manakah sinergi menuntut ilmu itu tiris? Wahai para guru pencorak
modal insan negara, andai benar ‘belajar sepanjang hayat’ adalah fitrah kerja buat kita, ayuhlah mereformasi niat
belajar kita. Seterusnya berusaha, istiqamah dan kemudian bertawakallah.
Penulis adalah pensyarah di Jabatan
Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah.
No comments:
Post a Comment