BELAJAR UNTUK BELAJAR: CABARAN
GURU DALAM MENUNTUT ILMU
Dr Norliza Kushairi
“Adam, ayah mintak maaf hujung minggu ni
ayah ada kelas. Nanti minggu depan kita keluar ke tasik jogging sama-sama ya.” Agaknya inilah ungkapan yang selalu
singgah di telinga anak-anak apabila si ayah atau si ibu menyambung pengajian
semula. Sudah semacam satu lumrah, institusi pengajian tinggi kini dibanjiri
oleh pelajar-pelajar dewasa; sebahagian besarnya adalah guru-guru dalam
perkhidmatan rentetan dari agenda memartabatkan professionalisme mereka yang
diterjemahkan melalui NKRA pendidikan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(kini telah dilanjutkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025).
Malah senario ini adalah indikator
bahawa pembelajaran sekarang sudah tidak mengenal had umur. Bersyukurlah, amalan
pembelajaran yang berterusan melalui ungkapan ‘learning from cradle to grave’ seolah sudah terbudaya dalam
masyarakat. Jika diimbas kembali
30 atau 40 tahun yang lampau, sukar sekali
untuk melihat kelibat orang yang berusia menggendong fail dan buku-buku ke
kelas. Jika ada pun, jumlahnya sangat kecil.
Kehadiran para guru pada hujung-hujung
minggu dan waktu cuti sekolah di kampus-kampus Institusi Pendidikan Guru (IPG) atau
universiti menunjukkan bahawa saranan ‘belajar
sepanjang hayat’
disambut baik oleh golongan pendidik. Suasana pada hujung minggu dan waktu cuti
sekolah menjadi ‘hidup’ di kampus-kampus dengan gelagat
guru-guru yang dahagakan ilmu ini. Namun, dalam senario yang memberangsangkan
ini, sering kali juga kita mendengar, “Encik, saya nak minta lanjutkan
tempoh hantar tugasan ni boleh ke Encik...anak saya tak sihat..” atau “Encik,
minggu ni saya kena bertugas bawa pelajar ke Karnival SUKMA, tak dapatlah saya
hadir interaksi nanti”. Inilah antara cabaran menjadi pelajar dewasa. Bahkan,
ia juga cabaran bagi golongan tenaga pengajar yang mengajar pelajar dewasa.
Sepanjang
pengalaman menguruskan pelajar dewasa, bait-bait rayuan seperti di atas menjadi
lebih kerap didengari apabila tarikh akhir sesuatu tugasan menghampiri. Naluri orang
berkeluarga, sedikit sebanyak rasa empati dalam diri saya timbul terhadap
pelajar sebegini. Namun adakalanya kelonggaran yang diberikan walaupun ianya
berciri kemanusiaan, akan menggugat
prestasi akademik pelajar itu sendiri. Sebagai contohnya, kesan rantaian akan
timbul di mana apabila pelajar lewat menyerahkan tugasan, maka masa untuk
memeriksa tinggal sedikit berbanding dengan bilangan tugasan yang banyak. Dalam keadaan begini, bersifat tegas disulami
budi bicara (di pihak saya) dan mematuhi tarikh akhir (di pihak pelajar), adalah
lebih baik.
Dari pengalaman
saya juga, apa yang sering saya perhatikan ialah kurangnya kemahiran belajar
pada sesetengah guru. Ini termasuklah kemahiran menguruskan masa. Adakah kerana
guru yang belajar secara sambilan terikat dengan pelbagai komitmen? Situasi ini
cuba difahami namun tidak seharusnya
sikap ini dilazimi. Kepada pelajar saya sering berpesan ‘belajar cara belajar’
(learning to learn). Mengikut laporan oleh Education Council (2006), ‘Learning
to learn’ is the ability to pursue and persist in learning, to organise one’s
own learning, including through effective management of time and information, ..
This competence includes awareness of one’s learning process and needs,
identifying available opportunities, and
the ability to overcome obstacles in order to learn successfully”. Maksudnya,
apabila kita sudah bergelar pelajar, kemahiran belajar perlu ada. Dan kemahiran
ini tidak datang sendiri atau tercipta sejak azali bagi sesetengah orang. Ianya
perlu dipelajari. Walau pun umum menganggap guru sudah mantap kemahiran
belajarnya (kerana sering memotivasikan murid-muridnya), ironinya, realiti guru
yang belajar (sesetengahnya, bukan semua) tidak begitu. Keadaan sebenarnya agak
berbeza apabila kita mengajar dan apabila kita menjadi pelajar. Menjadi pelajar
benar-benar menguji kemahiran belajar yang sering kita ceramahkan pada pelajar.
‘Belajar cara belajar’ adalah hakikat sebenar orang menuntut ilmu; dan inilah intipatinya
‘pembelajaran sepanjang hayat’. Bukanlah segulung ijazah semata-mata yang patut
diidamkan, tetapi makna yang kita cipta daripada pengalaman yang diraih semasa bergelar
pelajar. Menjadi pelajar dalam usia ‘dewasa’ adalah medan yang menguji keupayaan
sebenar kita menguruskan tanggungjawab di bawah kita.
Dengan komitmen yang menggunung - bergegas ke sana sini
menguruskan anak-anak, tuntutan tugas pejabat yang tidak berpenghujung dan
tugasan pengajian yang menghambat – para guru yang bergelar pelajar dewasa
berdepan dengan pelbagai cabaran. Di sini, para guru haruslah sedar akan
pentingnya kekuatan mental. Kekuatan mental yang dimaksudkan adalah keupayaan
minda di bawah sedar untuk mengawal pergerakan seharian kita supaya tidak mudah
mengalah dengan keadaan yang tidak menyebelahi kita. Menurut pengamal perubatan alternatif, Prof
Dr Ibrahim Ahmad, minda bawah sedar banyak melakukan tugas untuk
kita, iaitu apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, akan ditangkap dan
disimpan. Melaluinya juga ia boleh bertindak menjaya atau menggagalkan misi
seseorang itu, justeru jika para guru ingin amalkan, ianya adalah satu
keputusan yang bijak kerana guru yang belajar tahu niat dan apa yang
dikehendaki mereka (pembaca yang berminat
mengetahui lebih lanjut mengenai ’kuasa
minda bawah’ sedar bolehlah membuat rujukan sendiri; membuat rujukan adalah
satu dari kemahiran belajar).
Pengalaman saya sendiri belajar dalam usia dewasa (nota:
berkahwin, mempunyai anak) membuka perspektif yang tersendiri terhadap
pembelajaran orang dewasa. Berbanding pelajar bujang (nota: tiada komitmen
keluarga), setiap detik masa saya adalah sangat berharga. Saya perlu menyusun
jadual harian supaya dalam sehari saya dapat mencapai sasaran harian yang saya
tetapkan. Sifir saya sangat mudah, jika sejam masa yang saya gunakan untuk diri
saya sendiri (iaitu belajar) bermakna sejamlah anak-anak berkorban untuk diri
saya, maka biarlah sejam masa yang mereka korbankan itu berbaloi. Bagaimana?
Ya, saya kena benar-benar pastikan saya mencapai sasaran harian saya. Jika
tidak, saya akan rasa bersalah kerana mensia-siakan pengorbanan mereka. Untuk
tidak mengecewakan diri sendiri, tetapkanlah sasaran yang kecil-kecil tetapi
bermakna untuk hari itu dan berkesan dalam jangka masa panjang. Dalam pada itu,
saya sengaja membina ‘ketegangan’ buat diri sendiri iaitu dengan menyatakan pada diri bahawa saya
tidak amanah dengan anak-anak sekiranya gagal mencapai sasaran harian saya. Inilah
salah satu latihan menguasai minda di bawah sedar yang saya amalkan. Saya lakukan begini kerana saya sangat bimbang
Allah akan menyoal saya kelak dek masa mendidik anak-anak yang saya telah ambil.
Ianya adalah satu perjuangan – dengan diri sendiri, dengan orang lain, dengan persekitaran.
Kekuatan mental adalah senjata ampuh yang kita perlukan.
Secara umumnya, konsep menuntut ilmu ini juga tidak sukar untuk difahami
dari sudut agama. Nabi Muhammad saw bersabda, diriwayatkan oleh At-Tarmizi
dan Ad-Darimi, “Siapa yang keluar untuk
menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.” Maka tidak hairanlah jika menuntut ilmu itu suatu jihad. Malaikat mengerumuni orang atau
kelompok yang menuntut ilmu sehinggakan jika kita bersedekah kepada orang yang
sedang menuntut ilmu pahala digandakan
sehingga 700 kali. Maka janganlah rasa gusar
dengan cabaran belajar kerana menuntut ilmu adalah amalan yang mulia. Kemuliaan
orang yang sentiasa menuntut ilmu ada diriwayatkan oleh Tarmizi, Abu Daud dan
Ibn Majah:
‘Sesungguhnya
malaikat-malaikat melabuhkan sayap-sayapnya kepada penuntut ilmu yang redha
dengan apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya apa yang ada di langit dan apa
yang ada dibumi sehinggakan ikan di air beristighfar kepada orang alim.
Kelebihan orang alim berbanding orang abid adalah seperti kelebihan bulan
berbanding seluruh bintang. Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris anbiya’ dan para nabi tidak
mewariskan dinar dan tidak pula dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu.
Sesiapa mengambilnya sesungguhnya dia mengambil keuntungan yang banyak’.
Begitulah antara keistimewaan orang menuntut ilmu.
Mata memandang nampak berat,
Beban ditanggung bagaikan sarat,
Ditangani cabaran penuh bijak,
Ilmu diterima mendapat berkat,
Pengakhirannya manis tidak terucap,
Terkesan di hati terubah sikap.
Penulis adalah pensyarah di Jabatan
Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah.
No comments:
Post a Comment