My Teaching and Learning Philosophy

My photo
Teaching means learning. When we teach, we are questing for knowledge. Hence, learning. Thus, teaching is a manifestation of lifelong learning. Being a teacher, is a lifelong learner, a learning designer. All this is due to my philosophy of "Life is a redox"; when one gives, another has to take, otherwise, life won't exist. Teaching is a devotion, not just a profession.

Saturday 3 November 2012

DrNK original: BELAJAR UNTUK BELAJAR: CABARAN GURU DALAM MENUNTUT ILMU


BELAJAR UNTUK BELAJAR: CABARAN GURU DALAM MENUNTUT ILMU
Dr Norliza Kushairi

Adam, ayah mintak maaf hujung minggu ni ayah ada kelas. Nanti minggu depan kita keluar ke tasik jogging sama-sama ya. Agaknya inilah ungkapan yang selalu singgah di telinga anak-anak apabila si ayah atau si ibu menyambung pengajian semula. Sudah semacam satu lumrah, institusi pengajian tinggi kini dibanjiri oleh pelajar-pelajar dewasa; sebahagian besarnya adalah guru-guru dalam perkhidmatan rentetan dari agenda memartabatkan professionalisme mereka yang diterjemahkan melalui NKRA pendidikan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (kini telah dilanjutkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025).  Malah senario ini adalah indikator bahawa pembelajaran sekarang sudah tidak mengenal had umur. Bersyukurlah, amalan pembelajaran yang berterusan melalui ungkapan ‘learning from cradle to grave’ seolah sudah terbudaya dalam masyarakat. Jika diimbas kembali 30 atau 40 tahun yang lampau, sukar sekali  untuk melihat kelibat orang yang berusia menggendong fail dan buku-buku ke kelas. Jika ada pun, jumlahnya sangat kecil.

Kehadiran para guru pada hujung-hujung minggu dan waktu cuti sekolah di kampus-kampus Institusi Pendidikan Guru (IPG) atau universiti menunjukkan bahawa saranan belajar sepanjang hayat disambut baik oleh golongan pendidik. Suasana pada hujung minggu dan waktu cuti sekolah menjadi hidup di kampus-kampus dengan gelagat guru-guru yang dahagakan ilmu ini. Namun, dalam senario yang memberangsangkan ini, sering kali juga kita mendengar, “Encik, saya nak minta lanjutkan tempoh hantar tugasan ni boleh ke Encik...anak saya tak sihat..” atau “Encik, minggu ni saya kena bertugas bawa pelajar ke Karnival SUKMA, tak dapatlah saya hadir interaksi nanti”. Inilah antara cabaran menjadi pelajar dewasa. Bahkan, ia juga cabaran bagi golongan tenaga pengajar yang mengajar pelajar dewasa.


Sepanjang pengalaman menguruskan pelajar dewasa, bait-bait rayuan seperti di atas menjadi lebih kerap didengari apabila tarikh akhir sesuatu tugasan menghampiri. Naluri orang berkeluarga, sedikit sebanyak rasa empati dalam diri saya timbul terhadap pelajar sebegini. Namun adakalanya kelonggaran yang diberikan walaupun ianya berciri kemanusiaan,  akan menggugat prestasi akademik pelajar itu sendiri. Sebagai contohnya, kesan rantaian akan timbul di mana apabila pelajar lewat menyerahkan tugasan, maka masa untuk memeriksa tinggal sedikit berbanding dengan bilangan tugasan yang banyak.  Dalam keadaan begini, bersifat tegas disulami budi bicara (di pihak saya) dan mematuhi tarikh akhir (di pihak pelajar), adalah lebih baik.

Dari pengalaman saya juga, apa yang sering saya perhatikan ialah kurangnya kemahiran belajar pada sesetengah guru. Ini termasuklah kemahiran menguruskan masa. Adakah kerana guru yang belajar secara sambilan terikat dengan pelbagai komitmen? Situasi ini cuba difahami  namun tidak seharusnya sikap ini dilazimi. Kepada pelajar saya sering berpesan ‘belajar cara belajar’ (learning to learn). Mengikut laporan oleh Education Council (2006),  ‘Learning to learn’ is the ability to pursue and persist in learning, to organise one’s own learning, including through effective management of time and information, .. This competence  includes awareness  of one’s learning process and needs, identifying available opportunities, and  the ability to overcome obstacles in order to learn successfully”. Maksudnya, apabila kita sudah bergelar pelajar, kemahiran belajar perlu ada. Dan kemahiran ini tidak datang sendiri atau tercipta sejak azali bagi sesetengah orang. Ianya perlu dipelajari. Walau pun umum menganggap guru sudah mantap kemahiran belajarnya (kerana sering memotivasikan murid-muridnya), ironinya, realiti guru yang belajar (sesetengahnya, bukan semua) tidak begitu. Keadaan sebenarnya agak berbeza apabila kita mengajar dan apabila kita menjadi pelajar. Menjadi pelajar benar-benar menguji kemahiran belajar yang sering kita ceramahkan pada pelajar. ‘Belajar cara belajar’ adalah hakikat sebenar orang menuntut ilmu; dan inilah intipatinya ‘pembelajaran sepanjang hayat’. Bukanlah segulung ijazah semata-mata yang patut diidamkan, tetapi makna yang kita cipta daripada pengalaman yang diraih semasa bergelar pelajar. Menjadi pelajar dalam usia ‘dewasa’ adalah medan yang menguji keupayaan sebenar kita menguruskan tanggungjawab di bawah kita.
Dengan komitmen yang menggunung - bergegas ke sana sini menguruskan anak-anak, tuntutan tugas pejabat yang tidak berpenghujung dan tugasan pengajian yang menghambat – para guru yang bergelar pelajar dewasa berdepan dengan pelbagai cabaran. Di sini, para guru haruslah sedar akan pentingnya kekuatan mental. Kekuatan mental yang dimaksudkan adalah keupayaan minda di bawah sedar untuk mengawal pergerakan seharian kita supaya tidak mudah mengalah dengan keadaan yang tidak menyebelahi kita.  Menurut pengamal perubatan alternatif, Prof Dr Ibrahim Ahmad, minda bawah sedar banyak melakukan tugas untuk kita, iaitu apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, akan ditangkap dan disimpan. Melaluinya juga ia boleh bertindak menjaya atau menggagalkan misi seseorang itu, justeru jika para guru ingin amalkan, ianya adalah satu keputusan yang bijak kerana guru yang belajar tahu niat dan apa yang dikehendaki mereka (pembaca yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai  ’kuasa minda bawah’ sedar bolehlah membuat rujukan sendiri; membuat rujukan adalah satu dari kemahiran belajar).
Pengalaman saya sendiri belajar dalam usia dewasa (nota: berkahwin, mempunyai anak) membuka perspektif yang tersendiri terhadap pembelajaran orang dewasa. Berbanding pelajar bujang (nota: tiada komitmen keluarga), setiap detik masa saya adalah sangat berharga. Saya perlu menyusun jadual harian supaya dalam sehari saya dapat mencapai sasaran harian yang saya tetapkan. Sifir saya sangat mudah, jika sejam masa yang saya gunakan untuk diri saya sendiri (iaitu belajar) bermakna sejamlah anak-anak berkorban untuk diri saya, maka biarlah sejam masa yang mereka korbankan itu berbaloi. Bagaimana? Ya, saya kena benar-benar pastikan saya mencapai sasaran harian saya. Jika tidak, saya akan rasa bersalah kerana mensia-siakan pengorbanan mereka. Untuk tidak mengecewakan diri sendiri, tetapkanlah sasaran yang kecil-kecil tetapi bermakna untuk hari itu dan berkesan dalam jangka masa panjang. Dalam pada itu, saya sengaja membina  ketegangan buat diri sendiri iaitu dengan menyatakan pada diri bahawa saya tidak amanah dengan anak-anak sekiranya gagal mencapai sasaran harian saya. Inilah salah satu latihan menguasai minda di bawah sedar yang saya amalkan.  Saya lakukan begini kerana saya sangat bimbang Allah akan menyoal saya kelak dek masa mendidik anak-anak yang saya telah ambil. Ianya adalah satu perjuangan dengan diri sendiri, dengan orang lain, dengan persekitaran. Kekuatan mental adalah senjata ampuh yang kita perlukan.

Secara umumnya, konsep menuntut ilmu ini juga tidak sukar untuk difahami dari sudut agama. Nabi Muhammad saw bersabda, diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan Ad-Darimi, “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.” Maka tidak hairanlah jika menuntut ilmu itu suatu jihad. Malaikat mengerumuni orang atau kelompok yang menuntut ilmu sehinggakan jika kita bersedekah kepada orang yang sedang menuntut ilmu pahala  digandakan sehingga 700 kali. Maka janganlah rasa gusar dengan cabaran belajar kerana menuntut ilmu adalah amalan yang mulia. Kemuliaan orang yang sentiasa menuntut ilmu ada diriwayatkan oleh Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Majah:
Sesungguhnya malaikat-malaikat melabuhkan sayap-sayapnya kepada penuntut ilmu yang redha dengan apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya apa yang ada di langit dan apa yang ada dibumi sehinggakan ikan di air beristighfar kepada orang alim. Kelebihan orang alim berbanding orang abid adalah seperti kelebihan bulan berbanding seluruh bintang. Sesungguhnya ulama adalah pewaris anbiya dan para nabi tidak mewariskan dinar dan tidak pula dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa mengambilnya sesungguhnya dia mengambil keuntungan yang banyak.

Begitulah antara keistimewaan orang menuntut ilmu.
Mata memandang nampak berat,
Beban ditanggung bagaikan sarat,
Ditangani cabaran penuh bijak,
Ilmu diterima mendapat berkat,
Pengakhirannya manis tidak terucap,
Terkesan di hati terubah sikap.


Penulis adalah pensyarah di Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah. 

No comments:

Post a Comment